IPOH: Kerajaan tidak pernah menipu rakyat apabila ia berjanji akan melaksanakan sesuatu projek pembangunan termasuklah membina hospital-hosiptal baru di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurutnya setiap janji yang dibuat akan dilaksanakan tetapi sama ada ia akan bermula serta merta atau dalam tempoh terdekat ataupun memakan masa bergantung kepada masalah yang dihadapi kerajaan dalam proses melaksanakan sesuatu projek mengikut kawasan.

Beliau memberikan contoh Hospital Parit Buntar yang dijadikannya isu kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 oleh pembangkang di kawasan itu dengan menuduh kerajaan menipu rakyat kerana hospital itu masih belum kelihatan sehingga hari ini.

“Betul kita berjanji untuk bina Hospital Parit Buntar. Selepas PRU yang lepas kita cuba laksana, tapi kita menghadapi masalah kerana tapak tanah adalah bekas sawah.

“Maka JKR (Jabatan Kerja Raya) kena buat soil treatment (pemulihan tanah), selepas itu perlu masa lagi nak tunggu tanah kejap (mampat)…proses ini semua makan masa…tapi ini tak bermaksud kerajaan tipu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah Klinik Kesihatan Manjoi, di Kampung Gugusan Manjoi tengahari tadi.

Dr Zambry yang juga calon bertanding bagi kerusi Parlimen Lumut dan DUN Pangkor menegaskan BN adalah kerajaan bertanggungjawab dan tidak akan membuat sebarang janji sekiranya tidak mampu melaksanakannya.

“Kita tak janji sekiranya kita tahu ia tak boleh dilaksanakan. Ada perkara yang boleh kita segerakan tetapi ada perkara yang tak boleh dibuat serta merta kerana pelbagai faktor termasuk faktor teknikal.

Kita harap rakyat faham soal ini. Tapi sekiranya pihak sana (pembangkang) boleh berjanji mereka ada lampu Aladin, gosok-gosok terus jadi…kita angkat tangan (kalah),” katanya.

Hospital Parit Buntar pernah menjadi isu hangat di kalangan penduduk tempatan kawasan utara negeri ini apabila ia masih gagal dilaksanakan setelah kerajaan berjanji membinanya pada PRU-12.

Pada 18 Februari lepas, satu majlis pecah tanah hospital di tapak seluas 13 ekar di Kampung Tanah Kebun, Jalan Baharu Parit Buntar telah disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan dijangka siap pada 2020.

BERITA BERKENAANDr Zambry Senarai Subsidi Jawab Kempen Pembangkang ‘Hapuskan GST, Kembalikan Subsidi’