TELUK INTAN: Kerajaan tidak pernah melupakan tanggungjawab untuk membantu kaum India, termasuk mereka yang tinggal di ladang-ladang di Parlimen Teluk Intan.

Pengerusi Badan Perhubungan MIC Perak, Datuk V. Elango berkata, pelbagai bantuan telah disalurkan untuk membantu masyarakat itu, khususnya golongan B40.

Beliau memberi contoh, seramai 2,984 usahawan kecil di Perak telah menerima pinjaman Tekun Nasional berjumlah RM35.9 juta, termasuk 227 usahawan kecil di Teluk Intan dengan pinjaman sebanyak RM2.4 juta.

Di samping itu, kata beliau, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga telah memberi pinjaman kepada 3,169 sahabat wanita kaum India bernilai RM52.5 juta, termasuk RM9.4 juta untuk 446 sahabat di Teluk Intan.

“Angka ini sangat memberansangkan dan kita di Perak juga ada skim pinjaman mikro kredit tanpa faedah di mana dalam masa enam tujuh tahun ini ramai masyarakat India, terutama penjaja kecil telah mendapat banyak kemudahan pinjaman.

“Mereka telah berjaya dan melayakkan mereka untuk mendapat pinjaman kedua,” katanya kepada Suara Perak selepas majlis perjumpaan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan masyarakat India di Ladang Nova Scotia, dekat sini pada Selasa.

Majlis itu merupakan aktiviti pertama sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak.

Hadir sama Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Dr Mah Siew Keong dan Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jong, Datuk Azhar Jamaluddin.

Elanggo memberitahu, terdapat 340 ketua keluarga kaum India di Teluk Intan yang berada dalam kumpulan B40 di mana 120 daripada mereka menerima bantuan pelajaran manakala 220 lagi menerima bantuan kotak makanan Yayasan Bina Upaya (YBU).