LUBUK MERBAU: Kerajaan akan terus berusaha untuk mengupayakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berlandaskan kepada Pelan Tindakan Strategik (PTS) NGO 2016 – 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan & Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Institut Darul Ridzuan (IDR) untuk memberi latihan kepada NGO mengikut sembilan bidang fokus.

Bagaimanapun, beliau berharap NGO di negeri ini tidak bergantung sepenuhnya bantuan dana daripada kerajaan semata-mata.

“Kita nak upayakan NGO yang sinonim dengan rakyat, bukan sahaja untuk NGO berkenaan tetapi juga boleh memberi impak pada masyarakat,” katanya kepada Suara Perak selepas Dialog PTS NGO di Dewan Milinium Lubuk Merbau di sini pada Rabu petang.

upayakan NGO 2

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Lubuk Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Dr Mazalan Kamis.

Sementara itu, Dr Mazalan memberitahu, sehingga hari ini, lebih 300 NGO telah mengikuti latihan yang dikendalikan pihaknnya.

Ketika sesi dialog dengan pemimpin dan wakil NGO yang hadir, beliau berkata, antara kriteria untuk memohon dana kerajaan ialah aktiviti yang bukan hanya boleh membangunkan NGO tetapi juga boleh membangunkan komuniti.

“Bukan hanya mengharapkan dana kerajaan, NGO juga digalakkan untuk mencari dana dari pihak lain, termasuk dari pihak swasta,” ujarnya.