IPOH: Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan langkah menjadikan Pangkor sebagai pulau bebas cukai, seperti yang dicadangkan kerajaan negeri terdahulu.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, senarai barangan bebas cukai dan pelaksanaan Pangkor sebagai pulau bebas cukai masih dalam peringkat kajian oleh Kementerian Kewangan.

“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyokong apa sahaja usaha untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Mengenai status cadangan membangunkan kediaman Menteri Besar yang baru, beliau sekali lagi menjelaskan ia bukan lah cadangan baharu.

Sebenarnya, kata beliau, ia telah dicadangkan hampir empat dekad yang lalu di bawah pentadbiran Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Beliau menambah, kerajaan PH hanya membuka semula perbincangan berhubung cadangan berkenaan memandangkan keadaan kediaman rasmi tersebut yang tidak lagi sesuai apabila mengambil kira faktor keselamatan dan kepesatan pembangunan komersil di kawasan sekitar.

“Cadangan ini juga berhubung kait dengan perancangan untuk memindahkan pusat pentadbiran kerajaan negeri ke kawasan Meru,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata YAB Ahmad Faizal, kerajaan PH meletakkan pendidikan sebagai salah satu agenda tumpuan di negeri Perak dengan menjalankan gerakan besar-besaran bagi memperkasa bidang pendidikan dari peringkat rendah sehingga ke peringkat pengajian tertinggi.

Menurut beliau, ini adalah kerana pendidikan merupakan senjata yang paling ampuh untuk menjamin masa depan generasi masa depan dan mengubah nasib rakyat khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah.

“Kemiskinan bukan untuk diwarisi dan kita mahu mengubahnya dengan memperkasakan pendidikan semua kaum, termasuk komuniti Orang Asli di seluruh pelusuk negeri Perak,” tambahnya.

Justeru itu, kata beliau, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM3 juta untuk membantu sekolah-sekolah SJKC, SJKT dan sekolah mubaligh.

Katanya, selaras dengan usaha memperkasa pendidikan ini, kerajaan negeri juga telah memutuskan untuk menyalurkan dana untuk sekolah persendirian Cina di seluruh Perak dan sebahagian peruntukan akan disalurkan mulai tahun ini, manakala sebahagian lagi peruntukan akan disalurkan tahun hadapan.

Di samping itu, ujarnya, kerajaan negeri juga akan menambahbaik bantuan kepada sekolah-sekolah tahfiz dan institusi pondok.

“Semua peruntukan ini adalah komitmen kerajaan negeri untuk muncul sebagai penggerak utama atau dengan izin, “prime mover” dalam agenda memperkasakan pendidikan,” kata beliau.

YAB Ahmad Faizal berkata, dalam lawatannya ke perkampungan komuniti Orang Asli, beliau mendapati masih banyak yang kita perlukan lakukan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda mereka.

Justeru itu, katanya, kerajaan negeri juga bertekad untuk membantu mereka secara terus dan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.