IPOH: Kerajaan tidak mengawal harga vaksin dan ubat-ubatan untuk Influenza A (H1N1) walaupun ia dikatakan meningkat secara mendadak sejak Disember lalu.

Sebaliknya ia terpulang kepada syarikat yang menjual dan klinik swasta yang membeli.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pembeli boleh memilih pembekal yang sesuai kerana tidak ada unsur monopoli dalam pembekalan vaksin dan ubat itu.

“Bekalan bukan satu saja, dia tidak ada monopoli, ada beberapa syarikat yang membekal vaksin, jadi mereka yang beli boleh pilih mereka yang jual vaksin yang lebih murah.

“Bagaimanapun, jangan panik, kalau orang yang sihat biasa ada Influenza, biasa ambil panadol, rehat ambil minum air banyak sikit rehat mesti mencukupi dan elak daripada tempat orang awam supaya dia tidak merebak ke kawasan lain dan sekiranya perlu ke kawasan awam, pakai topeng muka.

“Kalau budak-budak yang ada Influenza, rehat di rumah, boleh tengok doktor, tengok perlu ubat ke tidak dan juga jangan pergi ke sekolah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan vaksin yang pada asalnya berharga RM50 dan RM70 melambung sehingga RM150 kerana ramai ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memberi vaksin anti-virus itu kepada anak.

Boon Chye mengulangi ingatan bahawa tidak semua pesakit Influenza A memerlukan vaksin.

Sebaliknya, hanya mereka yang berisiko tinggi sahaja yang memerlukannya seperti warga emas, mempunyai penyakit kronik yang serius atau mereka yang menerima rawatan kanser.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan mempertingkatkan saringan terhadap pelancong yang datang daripada Wuhan, China ekoran kes terbaharu koronavirus yang dilaporkan di Jepun pada Khamis.

Ia merupakan kes kedua di luar China selepas dikesan di Thailand pada Isnin.