PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan kononnya pembekuan akaun bank berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai tindakan balas dendam.

Perdana Menteri berkata, individu atau mana-mana pihak yang dikenakan tindakan pembekuan akaun bank, boleh mengambil tindakan mahkamah jika tidak berpuas hati.

“Kita nak balas dendam apa? Apa yang dia (kerajaan terdahulu) buat dulu, lebih daripada itu. Kita tidak pernah mengadu. Semua kawan-kawan saya dihalau dan mereka tidak dibenarkan berkawan dengan saya.

“Pembekuan akaun bank mereka juga dilakukan, mana ada kita mengadu, kita tidak pernah mengadu. Ini kononnya tuduhan (beku akaun berkaitan 1MDB), apa nak tuduh? Dia boleh tuduhlah, dia salah. Kalau dia kata ini salah, bawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas dakwaan segelintir pihak kononnya pembekuan akaun UMNO dan beberapa individu berkaitan siasatan 1MDB adalah tindakan berunsurkan balas dendam.

Media sebelum ini melaporkan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa mempersoalkan sama ada kerajaan berdendam dengan seluruh keluarganya selepas akaun bank peribadi beliau dan anak lelakinya dibekukan.

Nooryana Najwa mendakwa akaun banknya dibekukan selepas membayar wang jaminan bekas Perdana Menteri itu kelmarin.

Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membekukan lebih 400 akaun bank termasuk parti politik dan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung syarikat pelaburan strategik kerajaan itu – berita harian