MANONG: Kerajaan tidak pernah lupa terhadap janji-janji yang telah dibuat walaupun pembangkang akan terus memperlekehkannya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, seperti biasa pemimpin pembangkang, khususnya dari DAP akan terus menghentam kerajaan kerana mahu rakyat marah dan benci kerajaan.

“Kita turun padang untuk mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat, yang mana kita janji, insya Allah kita akan kotakan,” katanya ketika berucap dalam majlis Sepagi Bersama Menteri Besar anjuran Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di pekarangan PPK Senggang / Manong di sini pada Rabu.

Hadir sama Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Zahir Abdul Khalid dan Datuk Rusnah Kasim; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid; ADUN Manong, Datuk Mohd Kamil Shafie dan Pengerusi PPN Perak, Datuk Nadzri Ismail.

Dr Zambry berkata, antara janji kerajaan yang sering diperlekehkan pembangkang ketika Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar tahun lalu ialah Jambatan Manong.

“Ia telah pun diluluskan malah syarikat juga telah dipilih walaupun kita sendiri tidak tahu syarikat itu kerana itu urusan Kuala Lumpur,” ujarnya.

Sementara itu, Nadzri di dalam ucapannya berkata, ahli pertubuhan peladang sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan yang telah banyak membantu pertubuhan tersebut.

Beliau turut mengumumkan, ekoran daripada keuntungan RM6 juta tahun lalu, PPN Perak akan membayar zakat kira-kira RM600,000 tahun ini.

 

WhatsApp Image 2017-05-17 at 13.51.26WhatsApp Image 2017-05-17 at 13.51.29