IPOH: Kerajaan negeri tidak pernah menyokong mana-mana aktiviti yang melanggar peraturan serta membahayakan nyawa seperti memanjat papan tanda Ipoh yang viral di laman sosial sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, kerajaan negeri juga tegas melarang perlakuan yang melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan masuk campur dalam kes berkenaan sekiranya ia sudah melibatkan pihak polis bagi tidak mengganggu siasatan.

“Kalau salah, tetap salah, “breaking the law is breaking the law’…kita tidak akan mengganggu siasatan polis malah kita tidak pernah menyokong tindakan mereka sama sekali,” katanya kepada Suara Perak.

Shahrul berkata, pihaknya juga tidak pernah menghalang sebarang penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Ditanya mengenai lapan anak muda yang dibawa berjumpa sebelum ini, Shahrul tegas menafikan tuduhan bahawa kerajaan negeri memberikan galakan kepada anak muda untuk meneruskan aktiviti berisiko tersebut.

“Masa kita bawa mereka berjumpa perkara pertama yang kita cakap adalah perbuatan mereka salah, tetapi sebagai Exco belia, saya menasihatkan mereka jangan melakukan perkara seumpama itu,” ujarnya.

Beliau menambah, pihaknya juga menawarkan untuk membantu mereka melakukan apa yang mereka hendak berdasarkan peraturan dan undang-undang.

“Kita faham jiwa anak muda, tetapi janganlah sampai membahayakan nyawa sendiri, tanggungjawab kami adalah untuk menasihati dan mendidik jadi mana mungkin kami menyokong tindakan melanggar undang-undang, bukan?,” katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, pihaknya menyerahkan kes berkenaan sepenuhnya di bawah kendalian pihak polis.

“Kita masih lagi menunggu laporan penuh daripada pihak polis berkenaan siasatan mereka mengenai kes pertama sebelum ini. Kes sama memanjat papan tanda Ipoh tak sesuai untuk saya beri komen, saya serahkan kepada pihak polis,” kata beliau.