IPOH: Kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tidak meminggirkan pemberian peruntukan kepada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk di kalangan pembangkang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, ia bagi memastikan agar semua ADUN dapat memberikan khidmat terbaik kepad rakyat di kawasan mereka.

“Kerajaan negeri telah memberikan peruntukan kepada semua ADUN sebanyak RM4,000 sebulan untuk penyeliaan pusat-pusat khidmat termasuk sewaan bangunan, staff dan sebagainya,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Chen Fook Chye (DAP-Keranji) semasa sidang Dewan Negeri Perak pada Khamis.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan terikat dengan beberapa pekeliling yang membabitkan peruntukan-peruntukan tertentu.

Zahir memberi contoh, walaupun sebagai ADUN Kamunting dan Exco kerajaan negeri, beliau sendiri memohon peruntukan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran dan pegawai daerah untuk mendapatkan perkhidmatan seperti banjir kilat.

“Mereka inilah yang menentukan peruntukan-peruntukan turun melalui jabatan-jabatan dan tidak ada halangan semua ADUN tidak ada yang tertinggal dan terpinggir semua boleh mohon kepada agensi pelaksana,” ujarnya.