IPOH: Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tidak pernah meminggirkan golongan belia di negeri ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap golongan tersebut.

Malah, kata beliau, Dr Zambry sendiri turut sentiasa berusaha untuk mendekati golongan belia yang terdapat di negeri ini.

Bagaimanapun, ujarnya, apa yang lebih penting ialah generasi muda mesti bersatu dan sentiasa berfikiran positif.

Sehubungan itu, Shalimin berharap Persatuan Belia Optimis Satu Suara (BOSS) menjadi penggerak untuk merapatkan belia dengan kerajaan.

“Kerajaan negeri akan terus membantu belia dan mahu melihat belia berjaya, termasuk mereka yang di dalam bidang keusahawanan,” katanya ketika berucap merasmikan Jamuan Makan Malam Amal BOSS di Kelab Golf Diraja Perak di sini pada Sabtu.

Hadir sama Presiden BOSS, Shamsul Bahari Talib dan Pengerusi Koperasi Gagah Setia Kinta Berhad, Mohd Firdaus Mohd Noor.

Sementara itu, Shamsul Bahari berkata, BOSS didaftarkan pada 2 Mac 2012 untuk melahirkan belia-belia yang optimis dan berwawasan, sesuai dengan halatuju yang lebih realistik, selari dengan visi dan misi yang ditetapkan.

Beliau berpendapat, masyarakat harus mendengar suara belia dan melibatkan sama mereka di dalam aktiviti kemasyarakatan.

Pada majlis itu, BOSS turut menyumbangkan masing-masing RM5,000 kepada Tabung Aman Palestin dan Asrama Anak Yatim Maahad Darus Salam, Tambun.