CHANGKAT JERING: Kerajaan negeri tidak pernah berasa tergugat dengan tohmahan liar pihak pembangkang yang cuba mempertikaikan ketelusan dalam memberikan yang terbaik buat rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berpendapat, tidak perlu untuk menjawab cemuhan tidak berasas pihak pembangkang itu hanya membuang masa.
Menurutnya, kerajaan negeri sebaliknya mengambil pendekatan mengenalpasti punca masalah yang dialami penduduk, termasuk di luar bandar, dan menyelesaikannya secara berperingkat dan sistematik.

“Mereka nak mengaum, biarkan saja kerana sebagai kerajaan, kita tahu, kita yakin dan kita laksanakan kerja untuk yang terbaik kepada segenap lapisan masyarakat di negeri Perak.

“Kita tak perlu nak hebohkan kesalahan pihak yang tidak seiring dengan usaha kita kerana yang lebih penting, adalah tindakan dan hasil yang terbukti pada pembangunan rakyat setempat,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan dan menyerahkan kunci rumah Projek Bantuan Rakyat (PBR) oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui FELCRA kepada lapan orang penerima di Dewan Air Kuning, di sini pada petang Jumaat.


Katanya, sifat semulajadi pihak pembangkang adalah untuk menentang dan mencungkil kesalahan tidak berasas, semata-mata untuk menonjolkan kekurangan kerajaan negeri.

Saarani berkata, tindakan itu hanyalah sebagai cubaan untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri, walhal pelbagai inisiatif dilakukan setiap masa untuk membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Jelasnya, beliau menyedari terdapat beberapa penduduk yang masih belum mendapat kelulusan untuk memiliki rumah sendiri dan ianya adalah disebabkan oleh pembinaan unit rumah yang amat terhad.

Kata beliau, rakyat seharusnya bersabar dan tidak berputus asa untuk mencari jalan alternatif dalam mendapatkan sebuah rumah yang boleh didiami bersama ahli keluarga.

“Ada juga di antara mereka yang mempunyai masalah, namun kita memberikan kelonggaran dan berusaha sedaya upaya untuk menunaikan hasrat mereka.

“Malah, dalam perancangan Bajet 2017 sebanyak 100 juta diperuntukkan di MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negeri) di mana sebahagian besar daripadanya untuk sektor perumahan,” katanya lagi.

Terdahulu, Saarani meluangkan masa merasmikan Karnival Kemas4U yang dihadiri lebih daripada 1,000 orang golongan ibubapa dan kanak-kanak daripada Tabika Kemas sekitar Parlimen Bukit Gantang.

Beliau turut merasmikan Bangunan Khas Pusat Sumber Trong yang pertama di kawasan itu sambil menyampaikan hadiah kepada peserta Marhaban KEMAS4U, sijil kepada peserta kursus jatihan dan telekung serta melawat pameran demonstrasi makanan.