KAMPAR: Kerajaan sedang menimbang permohonan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia untuk membangunkan kawasan tapak Perang Dunia Kedua ‘Green Ridge: Battle of Kampar’ sebagai kawasan tarikan warisan sejarah dan pelancongan baharu negeri Perak.

Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Nazri Aziz, ini kerana kawasan berkenaan melibatkan perjuangan tentera Punjabi dari India bersama tentera British semasa menentang kemaraan tentera Jepun.

Katanya, beliau telah dijemput oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib untuk menyertai lawatan ke India bermula 29 Mac hingga 4 April dan di antara perkara yang bakal dibincangkan ialah berkaitan permohonan kerajaan India untuk membangunkan kawasan tapak berkenaan.

“Lawatan kerja saya ke tapak ini adalah untuk memberi laporan dari sudut sejarah dan hubungan rapat di antara Malaysia dan India.

“Kita mestilah pertimbangkan permohonan yang dibuat Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia ini kerana kawasan ini telah terbukti mempunyai nilai sejarah perang dunia kedua,’’ katanya semasa berucap pada majlis lawatan kerjanya di Tapak Sejarah Perang Dunia Kedua di Kampar pada Jumaat.

Nazri berkata, lokasi ‘Green Ridge: Battle Of Kampar’ merujuk kepada kawasan pertempuran hebat di atas sebuah bukit di antara sepasukan 1,500 tentera British yang turut membabitkan tentera India, Sikh dan Gurkha menentang 4,000 tentera Jepun selama empat hari empat malam pada 30 Disember 1941.

Pertempuran yang menyaksikan kemenangan di pihak British itu turut mengakibatkan 150 tentera British dan 500 tentera Jepun maut dan dikebumikan di satu tempat di kawasan berkenaan yang dikenali sebagai Green Ridge.