IPOH: Kerajaan negeri amat menitikberatkan soal-soal pembangunan rohaniah di kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsian negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, antara inisiatif yang diambil kerajaan ialah melancarkan Kempen Pengimarahan Masjid yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 8 September tahun lalu.

Menurut beliau, demi mengekalkan kesedaran yang berterusan dalam pengimarahan masjid penganjuran Kempen Jom Solat Subuh Berjemaah di Masjid turut diwar-warkan.

“Usaha ini turut diperluaskan ke seluruh negeri dengan penglibatan pejabat-pejabat daerah dan pejabat-pejabat Agama daerah,” katanya semasa menjawab soalan lisan Datuk Mohd Zolkafly Harun (BN-Lintang) di sidang DUN Perak pada Khamis.

Drs Nizar berkata, penganjuran sesebuah program dalam kawasan masjid juga dilihat mampu menjadi wasilah perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Katanya di antara program yang telah dianjurkan ialah Program Kayuhan Perpaduan dan Majlis Iftar.

Menurut beliau, Program “Melentur Buluh Biar dari Rebungnya’’ merupakan inisiatif untuk mendidik kalangan anak-anak dengan mendekatkan diri dengan masjid.

Selain itu, ujar beliau, bagi memastikan kesedaran solat berjemaah terus segar berpanjangan, masyarakat diingatkan melalui khutbah Jumaat mingguan di seluruh masjid dan surau yang mendirikan solat Jumaat.

Beliau berkata, selain itu kerajaan negeri turut menganjurkan beberapa siri kursus bertujuan mewujudkan generasi pelapis imam dan bilal di masa akan datang.