IPOH – Kerajaan Uganda berminat untuk mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak di Perak meliputi bidang ekonomi dan pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri II negara itu, Dr Ally Muwabe Kirunda Kevejinja.
Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Komuniti Afrika Timur Uganda berkata, Perak mempunyai beberapa bidang yang berpotensi untuk diceburi oleh negara itu demi manfaat bersama kedua-dua pihak.
“Kita sudah pun melakukan perbicangan dengan beberapa pihak, antaranya ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Perak (DPPM) serta Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar.
“Setakat ini kita amat-amat gembira dengan perkembangan perbincangan yang dilakukan bersama-sama pihak terlibat dan kita akan lakukan perkara yang perlu bagi memastikan apa yang dirancang ini boleh direalisasikan,” katanya pada satu sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan DPPM Perak di Hotel Casuarina, Meru di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan Uganda secara dasarnya telah bersetuju untuk menerima delegasi DPPM Perak untuk berkunjung ke negara benua Afrika itu untuk melihat prospek perniagaan serta pelaburan yang boleh dilakukan oleh mereka.
“Pada September ini mereka akan hantar mereka delegasi ke Uganda untuk melihat sendiri potensi-potensi yang ada, kita akan sediakan atau memudahkan lagi mereka untuk melabur di dalam sektor yang mereka minati.
“Kita harap dengan bantuan dari pihak kerajaan Uganda ini akan memudahkan urusan mereka dan memberi gambaran jelas mengenai potensi yang belum diterokai serta apa yang ada di Uganda,” jelas beliau.
Mengenai kerjasama bersama pihak USAS pula, beliau berkata satu memorandum persefahaman akan dibuat oleh kedua-dua pihak untuk menghantar pelajar dari Uganda untuk belajar di Universiti itu.
“Kita akan menandatangani perjanjian itu esok supaya kita boleh menghantar lima pelajar dari Uganda untuk belajar di USAS, menimba ilmu di situ.
“Ia akan menguntungkan kedua-dua pihak dalam masa sama memberi pendedahan kepada pelajar kami mengenai Universiti di negara ini, sudah tentu kita akan mencari lagi peluang lain untuk kita rangkakan bersama beberapa pihak di negeri ini,” jelas beliau.
Sementara itu, Yang Di-Pertua DPPM Perak Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata kerjasama dengan Uganda itu  merupakan yang pertama seumpamannya bersama negara Afrika selepas DPPM menjalinkan kerjasama dengna beberapa negara serantau sebelum ini.
“Selain bidang pendidikan, banyak lagi bidang yang sebenarnya boleh kita ceburi di sana seperti perniagaan, pelancongan dan pertanian di mana kita ada kepakaran dan mereka (Uganda) mempunyai sumber.
“Kita akan bangunkan secara bersama dan pasarkan produk kepada negara berdekatan termasuk usaha menebus pasaran ke Mekah serta Madinah,” ujar beliau ketika ditemui dalam majlis terbabit.