Empat lelaki didenda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, setelah mengaku bersalah atas pertuduhan memindahkan ayam menggunakan bas ekspres tanpa perakuan kebenaran bertulis daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, April tahun lepas.

Majistret Nurasidah A. Rahman memutuskan demikian selepas kesemua tertuduh Nik Norilham Muhamad @Afandi, 41; Mohd Zulhilmi Amzar Zuhaimi, 27; Raja Al-Faisal Raja Azlan, 27; dan Fauzi Yazid, 47; mengaku salah atas pertuduhan berkenaan, yang jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama tiga minggu.

Nik Norilham yang memindahkan tujuh ekor ayam miliknya diarahkan membayar RM716.04 kepada Jabatan Veterinar negeri manakala Raja Al-Faisal dan Fauzi, masing-masing memindahkan seekor ayam milik mereka, diarahkan membayar RM109.51 sebagai denda kos penjagaan barang tahanan (ayam).

Mohd Zulhilmi bagaimanapun, tidak dikenakan denda tambahan kerana empat ayam miliknya telah mati ketika pemeriksaan dilakukan.

Menurut fakta kes, mereka didapati memindahkan 13 ekor ayam apabila tiga pegawai jabatan itu bersama lima pegawai dari Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menemukan ayam-ayam berkenaan ketika membuat pemeriksaan terhadap sebuah bas ekspres milik Syarikat Pengangkutan Bumi Pantai Timur Sdn Bhd yang ditahan di Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru, pada 7 April 2018, pada 11.20 pagi.

Hasil pemeriksaan mendapati bas ekspres berkenaan telah membawa barangan terlarang berupa sembilan ekor ayam hidup, empat ekor ayam yang telah mati dan 50 ekor burung Murai Batu dan hasil pemeriksaan secara teliti mendapati wujud aktiviti mengangkut barangan terlarang dalam tempat penyimpanan barang bas berkenaan.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 36 (7) Akta Binatang 1953, Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan kerana melakukan kesalahan perenggan (a) Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Flu Unggas Negeri Johor 2005.

Terdahulu, dalam rayuannya, kesemua tertuduh memohon hukuman ringan kerana mempunyai tanggungan keluarga.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor Mohd Faiz Ajis meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kes tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana keperluan perakuan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar amat penting kerana haiwan yang dibawa berisiko membawa penyakit.

“Pemindahan ini (ayam) melibatkan perjalanan dari Kelantan ke Johor Bahru melibatkan empat negeri dan dalam perjalanan itu, ia berisiko menyebarkan penyakit jadi saya mohon hukuman berat sebagai pengajaran.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

– Bernama