LIPIS: Akibat kelabu mata selepas ditawarkan pelbagai hadiah barangan berharga dan wang tunai oleh kenalan yang baru dikenali di laman sosial Facebook, seorang kerani di sini kerugian RM128,300 selepas diperdaya sindiket Love Scam.

Penipuan bermula pada 6 April lalu apabila mangsa yang berusia 20 tahun berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Lee Yun Micheal yang menetap di Amerika Syarikat (AS).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata sebagai tanda perkenalan, suspek ingin memberikan wanita itu hadiah iaitu baju, kasut, beg tangan, emas putih, minyak wangi, telefon bimbit, gelang tangan, jam tangan, barang kemas dan mata wang asing bernilai RM111,838 (US$28,000)

“Pada 11 Mei lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai ejen kastam dan memaklumkan bahawa mangsa akan menerima barangan dari luar negara serta mengarahkannya membayar cukai sebanyak RM4,800.

“Pada hari yang sama mangsa membuat pemindahan wang menggunakan perbankan dalam talian ke dalam akaun Maybank yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas itu suspek menghubungi mangsa dan memintanya membuat pelbagai bayaran seperti untuk mendapatkan sijil mata wang luar negara, wang penghantaran barang dan pembayaran pengangkutan.

“Untuk tujuan itu, bermula pada 11 Mei sehingga 1 Jun lalu, mangsa membuat sebanyak 10 kali transaksi ke tiga akaun berbeza yang diberikan oleh suspek, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM128,300,” katanya.

Mohd Wazir berkata, bagaimanapun, selepas memasukkan wang berkenaan, mangsa baru menyedari dirinya sudah ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, semalam.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan hadiah pelbagai jenis barang daripada luar negara sebagai tanda pengenalan sebelum menyamar sebagai ejen kastam dan meminta pelbagai bayaran daripada mangsa.

“Polis sudah merakam percakapan mangsa dan tiga suspek sudah dikenal pasti berdasarkan akaun bank diberikan sindiket itu untuk membolehkan mangsa memindahkan wang berkenaan,” katanya.

Katanya, wanita itu dipercayai menjadi mangsa sindiket Love Scam yang aktif memperdaya mangsa dalam kalangan wanita di laman sosial dengan menggunakan kata-kata manis selain menawarkan pelbagai hadiah kepada mangsa.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan – berita harian