KANGAR: Seorang kerani sebuah kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

​​​​​​Y. ​Kumaresan, 36, dari Gelugor, Pulau Pinang didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Asri dengan niat untuk menyebabkan cedera parah dengan cara: “akan punch (tumbuk) mulut you (awak) sampai masuk wad’.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah alamat di daerah Padang Besar kira-kira 6 petang, pada 1 Mei lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

​Bagaimanapun, Kumaresan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

Majistret Norhayati Ibrahim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 17 Mei ini untuk serahan dokumen dan pelantikan peguam bagi mewakili tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Hajar Ahmad bertindak sebagai peguam sementara mewakili tertuduh. – BERNAMA