KUALA KANGSAR – Bila sebut tentang kerepek pasti ramai terbayangkan ubi kayu dan pisang sebagai bahan asas kepada makanan ringan ini, namun kini anda boleh mencuba sentuhan perisa baharu yang menggunakan isi ketam.

Siapa sangka makanan laut seperti ketam dapat diolah menjadi kerepek enak yang dinamakan snek ketam rangup, malah kemunculan snek berasaskan ketam ini sudah semakin mendapat sambutan ramai terutama di Perak.

Pemaju Masyarakat KEMAS Tanjung Malim, Faridah Wahab berkata, pada mulanya snek ini dihasilkan di bengkel KEMAS, Tanjung Malim dan mula mendapat sambutan daripada orang ramai di sekitar Tanjung Malim juga Slim River.

“Kami diberi kursus cara membuatnya, ternyata ketam sesuai dijadikan kudapan dan rasa ketam yang sedikit manis dan masin menambahkan lagi perisa dalam kerepak ini,” katanya ketika ditemui pada program Salam Sayang Wanita UMNO Malaysia yang bertempat di Kampung Sungai Siput, Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Menurut Faridah, usaha untuk memperkenalkan variasi baharu kerepek itu mula diperluaskan di sekitar Kuala Kangsar baru-baru ini, yang mendapat sambutan menggalakkan masyarakat setempat.

“Apabila kita turun ke kampung- kampung di Kuala Kangsar dan membuat demonstrasi untuk masyarakat di kampung-kampung terpilih, ramai yang teruja hendak belajar.

“Ada juga yang teruja sebab tidak pernah tahu kewujudan kerepek ketam ini, mungkin sebab ia masih baru di pasaran,” ujarnya.

Menyentuh serba sedikit mengenai bahan dan cara pembuatannya, Faridah memberitahu, ada beberapa jenis isi ketam sesuai digunakan, selain penggunaan isi ketam sejuk beku yang dijual di pasaraya.

“Resipi ini paling mudah sebab bahannya pun tidak banyak, kita cuma sediakan isi ketam sejuk beku yang jenis berjalur sebab senang hendak dileraikan untuk menggoreng di samping tepung beras, bijan dan minyak.

“Koyakkan isi ketam, gaul bersama tepung beras, panaskan minyak dan masukkan ketam yang digaul tepung tadi sambil letak sesudu bijan, kemudian boleh goreng sampai kekuningan, toskan dan boleh angkat,” terangnya.

Seorang daripada penduduk di Kampung Sungai Siput, Robiah Abd Razak, 64, berkata, program seumpama itu dapat memberi pengalaman baru dan ilmu kepada masyarakat setempat, khususnya dalam penyediaan makanan.

“Bagus juga mereka (KEMAS) datang, dapat kita belajar perkara baru macam snek hari ini memang makcik pernah rasa di majlis kenduri kahwin, tetapi tidak pula tahu cara masaknya,” kata Robiah.