IPOH: Kereta milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam yang diletakkan di parkir Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak di sini, dilaporkan hilang petang Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Marzuki Mat berkata, pengadu meletakkan kereta Proton Perdana V6 miliknya dengan pendaftaran AFY 8656 di kawasan parkir itu kira-kira jam 3 petang.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 4.30 petang semasa pengadu hendak mengambil semula kereta tersebut, didapati ia telah hilang.

“Turut berada dalam kereta tersebut adalah dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kerja pengadu,” katanya kepada media pada Rabu.

Menurutnya, kerugian dianggarkan kira-kira RM15,000.

Katanya, pengadu juga merupakan Ketua Penyelaras Unit Hal Ehwal Bukan Islam dan kebiasaannya masuk ke pejabat nya di bangunan pejabat tanah hanya dua jam.

Menurut Marzuki, tempat kejadian adalah kawasan berpagar bangunan kerajaan tetapi tiada kamera litar tertutup (CCTV), namun terdapat pengawal keselamatan.

Pihak polis telah menemubual pengawal keselamatan yang bertugas semasa kejadian yang menurutnya tidak menyedari kejadian tersebut.

Kereta pengadu tidak mempunyai GPS dan hanya dikunci secara “steering lock” di samping tiada kunci tambahan.