SHAH ALAM: Seorang wanita parah selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Plaza Tol Batu Tiga awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Nursuha Ishak, 26, memandu kereta jenis PERODUA Kelisa dipercayai dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Honda CRV.

‎Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam, Azmel Kamarudin, berkata difahamkan pemandu Honda CRV dalam keadaan mabuk, tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan.

‎Akibat kemalangan itu, kedua-dua kenderaan berkenaan terbalik.

‎”Mangsa terpaksa menahan kesakitan kira-kira setengah jam sementara menunggu kerja menyelamatkannya yang tersepit dalam kereta dilakukan.

‎”Dipercayai mangsa tercampak ke bahagian belakang kereta selepas dirempuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

‎Azmel berkata, mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam selepas berjaya dikeluarkan.

Difahamkan ketika kejadian, ada dua kanak-kanak berada dalam kereta itu bersama mangsa, namun mereka berjaya dikeluarkan orang awam dan terus dibawa ambulans ke Hospital Shah Alam – berita harian