TAIPING – Sebuah kereta Honda Accord hangus dipercayai dibakar dalam kejadian di Taman Assamaju Taiping, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kereta berkenaan dipercayai diletakkan di kawasan rumah yang tidak berpenghuni.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan daripada orang awam yang melihat kejadian itu.

Menurutnya, sebaik anggota polis tiba di lokasi kejadian, pihak bomba telah sedang memadam kebakaran.

“Hasil siasatan mendapati, rumah terbabit milik seorang wanita yang kini menetap di Johor Bahru.

“Difahamkan juga rumah terbabit dalam proses untuk dijual dan kereta yang terbakar itu milik rakan kepada abang pemilik rumah berkenaan.

“Bagaimanapun, abang pemilik rumah tidak dapat dihubungi dan mendakwa mungkin berada di Johor Bahru atau Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Harrith Kam, sehingga kini siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi mengetahui punca kejadian.