DUNGUN: Akibat terlanggar bangkai seekor babi, kereta milik seorang kakitangan Petronas hangus terbakar.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 8.20 malam berhampiran simpang Ketengah Jaya, kereta Perodua Myvi milik Izudin Embong, 45, yang terbakar selepas kemalangan itu tidak dapat diselamatkan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Razidi Abdul Rahim, berkata ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ketengah Jaya.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa terlanggar bangkai babi di tengah jalan. Rempuhan itu menyebabkan enjin kereta mangsa berasap sebelum berlaku kebakaran dan merebak.

“Mangsa menghubungi bomba jam 8.23 malam sebelum empat anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya setengah jam selepas itu tetapi jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Pemandu kereta terbabit bagaimanapun tidak cedera,” katanya – berita harian