KUALA LUMPUR – Sebuah kereta hangus dalam satu kebakaran di KM27.7, Lebuhraya Utara-Selatan, dari Bukit Lanjan menghala ke Tol Jalan Duta, di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.23 pagi.

Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas bersama jentera tiba di tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Setibanya di tempat kejadian didapati api sedang marak. Kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Ford dan telah terbakar 90 peratus.

“Api berjaya dipadamkan pada jam 10.48 dan insiden terbabit tidak melibatkan mangsa,” katanya.

Menurutnya, pihak Lebuhraya Utara Selatan Malaysia Berhad (Plus) turut berada di lokasi.