KUALA LUMPUR : Kereta Kancil usang yang tular di laman sosial baru-baru ini akhirnya disita polis di Kilometer 15 Jalan Kuala Lumpur – Ipoh, dekat sini pada Jumaat lalu.

Kereta tersebut yang didakwa pernah dilihat berada di Pulau Pinang telah disita polis kira-kira pukul 10 pagi.

Difahamkan, pemeriksaan mendapati cukai jalan kereta tersebut telah tamat tempoh sejak 10 September tahun lalu dan pemandu yang berusia 45 tahun itu juga tidak memiliki lesen memandu ketika ditahan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Arshad Kamaruddin berkata, berdasarkan rekod kereta itu dimiliki seorang lelaki berusia 75 tahun yang dipercayai ahli keluarga pemandu berkenaan.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan terhadap pemandu dan kenderaan tersebut.

“Tindakan sita terhadap kereta itu dilakukan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.