KUALA KANGSAR: Sebuah lori dan kereta yang terbabit kemalangan di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora di sini terbakar.

Dalam kira-kira jam 11.30 pagi tadi itu difahamkan terdapat mangsa yang terperangkap dalam kereta berkenaan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 11.43 pagi dan sebaik tiba di lokasi mendapati api sedang marak membakar kedua-dua kenderaan yang terbabit kemalangan itu.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah lori dan kereta dengan api sedang marak membakar.

“Operasi memadamkan kebakaran diketuai Ketua Operasi Che Meor Kamarulhasnin Baheran sedang dijalankan dengan bantuan BBP Meru Raya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan setakat jam 1.30 tengah hari tadi api sudah berjaya dipadamkan dan pasukan bomba kini menunggu kerja-kerja pengalihan lori dilakukan bagi membolehkan pemeriksaan sama ada terdapat mangsa di dalam kereta berkenaan.

Susulan kejadian itu, berlaku kesesakan di kedua-dua arah di kawasan berkenaan – berita harian

Berita lanjut menyusul