KOTA KINABALU: Kereta mewah Nissan Fairlady dan Volkswagen Beetle serta beberapa kenderaan lain, bot dan enjin adalah antara 93 barangan rampasan polis dilelong kepada orang ramai, hari ini.

Turut dilelong ialah barang kemas membabitkan cincin, rantai, anting-anting, subang, loket dan gelang serta jam tangan mewah.

Ketua Penyelaras Lelongan Aset Alih, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Deputi Superintendan Wong Leong Meng, berkata semua barang yang dianggarkan bernilai RM131,000 dilelong kepada orang ramai mulai jam 9 pagi tadi.

“Orang ramai mula mengunjungi tapak lelongan seawal jam 7.30 pagi walaupun lelongan hanya bermula jam 9 pagi di pekarangan Pejabat Polis Marin, IPK Sabah.

“Kita jangka lelongan ini berakhir selawat-lewatnya jam 5 petang ini,” katanya.

Menurutnya, barang-barang yang dilelong itu adalah hasil rampasan membabitkan jenayah narkotik dari 2009 hingga 2016.

“Barang-barang ini disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988,” katanya – berita harian