RAWANG: Kerajaan perlu membuat penilaian komprehensif sebelum memutuskan untuk membangunkan jenama kereta nasional baharu seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kelmarin.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata penilaian holistik perlu dilaksanakan dengan mengambil kira ekosistem industri automotif sedia ada bagi mengelakkan projek itu tidak mencapai matlamatnya.

“Kajian mendalam perlu dilakukan memandangkan jumlah jualan kenderaan (TIV) Malaysia hanya sekitar 500,000 hingga 600,000 unit setahun saja. Kerajaan perlu melihat secara keseluruhan supaya ia memberi impak menyeluruh kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada media selepas majlis pengagihan kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp Perodua di Rawang, semalam.

Kelmarin, Tun Dr Mahathir ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei ke-24 di Jepun menyuarakan hasrat untuk memulakan projek kereta nasional baharu.

Perdana Menteri berkata, Proton yang beliau lancarkan, bukan lagi kereta nasional.

Zahari berkata, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan menyokong keputusan kerajaan jika penubuhan jenama kereta nasional baharu memberi impak positif kepada rantaian bekalan automotif dan vendor tempatan.

“Kita akan memberi sokong jika ia baik untuk industri automotif tempatan termasuk pembangunan vendor selain dapat menurunkan kos komponen,” katanya.

Sementara itu, PERODUA melaksanakan tanggungjawab korporatnya dengan mengagihkan 100 kerusi keselamatan kanak-kanak secara percuma kepada pemilik kenderaan Perodua di tiga lokasi di Semenanjung Malaysia.

Kerusi keselamatan kanak-kanak jenama GearUp Perodua itu diserahkan kepada pemandu Perodua yang bertuah yang membawa anak-anak berusia antara dua hingga enam tahun.

Menjadi sebahagian daripada Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dilancarkan pada Oktober lalu, PERODUA mengagihkan kerusi keselamatan itu di tiga kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di stesen minyak petronas di R&R Rawang, R&R Bentong dan R&R Seremban.

Zahari berkata, ia adalah kali pertama PERODUA menganjurkan acara berkenaan dengan kerjasama rakan niaga, Petronas dan panel insuransnya.

“Kami mengambil inisiatif khas ini kerana keprihatinan terhadap keselamatan pelanggan dan keluarga mereka. Kami berharap rakyat Malaysia sedar kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam menjamin keselamatan mereka,” katanya.

Diperkenalkan bersama dengan Kempen Keselamatan Jalan Raya pada Oktober lalu, kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp Perodua boleh didapati dengan dua model di mana kedua-duanya dipasang pada ISOFIX serta memenuhi piawaian keselamatan ECE R44.

Kerusi keselamatan bayi ditawarkan pada harga RM622.50 (RM640 di Malaysia Timur), sesuai untuk bayi seberat 13 kilogram (kg), manakala kerusi keselamatan kanak-kanak kanak-kanak pula RM736 (RM754.50 di Malaysia Timur) direka untuk kanak-kanak seberat antara sembilan hingga 36 kg.

Harga berkenaan adalah harga pengenalan dengan sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan sah sehingga 30 Jun ini – berita harian