PETALING JAYA: Sebuah syarikat milik Bumiputera yang berpangkalan di Cyberjaya akan bertanggungjawab pembangunan kereta nasional ke-3 Malaysia, yang akan dirasmikan hari ini, lebih setahun selepas idea yang dicetuskan Dr Mahathir Mohamad menerima pujian dan kritikan,

DreamEDGE Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 2007, berkemungkinan membangunkan Kenderaan Elektrik Penambah Jarak (REEV), yang merupakan antara matlamat Dasar Automotif Negara yang diperkenalkan lebih 1 dekad lalu.

Sebelum ini dilaporkan Proton yang membangunkan kereta nasional pertama pada awal 1980-an juga menghasilkan prototaip REEV.

Tetapi ia adalah rancangan DreamEDGE yang menarik perhatian perdana menteri.

“DreamEDGE mempunyai hubungan istimewa dengan Mahathir kerana ia dianggap pemimpin yang memberi perhatian dalam inovasi otomotif, kecerdasan buatan, robotik dan cetakan 3D,” kata sumber.

Difahamkan syarikat itu juga mempunyai kepakaran untuk membangunkan aset ketenteraan, termasuk Light Strike Vehicles.

Sumber itu berkata syarikat terbabit mempunyai semua ciri yang dekat dengan perdana menteri. Di laman webnya, ia bercakap mengenai Dasar Pandang Ke Timur yang masih dipromosikan Mahathir.

“Kami bangga sebagai salah satu produk program Dasar Pandang Ke Timur, dan sejak penubuhan kami, kami menanamkan budaya kerja Jepun kepada semua pekerja kami,” katanya.

Sejak awal penubuhan pejabatnya di lot kedai dengan hanya 3 jurutera, ia kini mempunyai pusat pembuatan dan prototaip di Cyberjaya, makmal inovasi di Bukit Jalil dalam institut R&D utama kerajaan Sirim, pusat reka bentuk di Taiping, serta pejabat R&D di Tokyo, Jepun.

DreamEDGE kini mempunyai lebih 100 jurutera, dan dianugerahkan reka bentuk dan kontrak R&D oleh syarikat di Jepun, UK, Austria, Brazil, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Pelancaran projek kereta nasional yang terbaru ini akan dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.

Mahathir mencadangkan kereta nasional ke-3 selepas beliau merasakan Proton tidak lagi kereta nasional, berikutan penjualannya kepada Zhejiang Geely Holding Group pada 2017.

Mahathir berkata projek kereta terbaru itu akan memanfaatkan sumber tenaga dan bakat di negara ini untuk mewujudkan ekosistem bagi usahawan dan industri untuk terus maju dan mewujudkan peluang pekerjaan.