IPOH: Kereta jenis Toyota Vellfire, yang digunakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh yang dilaporkan hilang di Sungai Ramal, Kajang, ditemui di Teluk Intan, Perak, petang Isnin.

Kereta berwarna hitam itu ditemui sekitar jam 5 petang, di belakang sebuah bangunan di Lorong Sejati 5, Taman Melor Sejati, Teluk Intan, Perak, hasil maklumat dan perisikan pihak polis.

Susulan dari itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan Polis Kontinjen Perak, membuat pemantauan berhampiran kedudukan kereta berkenaan selama 12 jam bagi mengesan individu yang akan mengambil kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, selepas menunggu sekian lama, pihaknya yakin kereta berkenaan tidak akan diambil oleh sesiapa selepas kehilangannya tersebar dalam media dan laman sosial.

“Saya yakin, susulan dari penularan laporan dan berita yang disiarkan oleh pihak media, maka penjenayah yang melarikan kereta berkenaan berasa takut dan panik disebabkan kenderaan yang dilarikan adalah kereta kerajaan dan digunakan oleh Pengarah JSJN Bukit Aman.

“Maka dia mengambil keputusan meletakkan kereta berkenaan di kawasan itu sehingglah ditemui oleh pihak polis,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata, pada jam 5 pagi tadi, pihak polis yang melakukan pemantauan mengambil keputusan memeriksa kereta berkenaan dan mengesahkan ianya adalah kenderaan yang digunakan oleh Datuk Seri Mohmad Salleh.

Katanya, penjenayah menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kereta berkenaan namun hasil pemeriksaan pada nombor enjin dan nombor casis mengesahkan kenderaan itu sebenarnya didaftarkan atas nombor pendaftaran kereta Datuk Seri Mohmad Salleh.

Pihak polis kemudian melakukan pemeriksaan susulan kemudian menemui beberapa kesan cap jari yang akan dihantar ke makmal forensik untuk tindakan lanjut.

Selain itu, tiada barang berharga termasuk radio dilaporkan hilang dalam kereta berkenaan.

Kereta berkenaan dilaporkan hilang pada jam 8 malam, 18 April lalu di kawasan tempat letak kereta di sebuah restoran satay di Sungai Ramal, Kajang, selepas pemandunya dikatakan berhenti untuk makan di restoran berkenaan.