BIDOR – Enam cedera termasuk dua mangsa tersepit dalam satu kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di KM355 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini, pagi tadi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Negeri Perak, Mohd Faisal Mohd Izham berkata kemalangan pada 10.44 pagi itu melibatkan sebuah Toyota Innova, Perodua Rusa, lori treler yang membawa muatan kontena, dan lori bermuatan asid sulfurik dan lori simen

Menurutnya kejadian berlaku apabila kontena yang dibawa lori treler terjatuh menghempap Toyota Innova di belakangnya.

“Impak daripada kemalangan itu menyebabkan dua penumpang yang duduk di bahagian belakang daripada lima orang yang menaiki kereta Toyata tersebut tersepit dan semua mengalami kecederaan,” ujar beliau ketika dihubungi.

Seorang lagi yang cedera ialah pemandu lori yang membawa asid sulfuric, katanya.

Walaubagaimanapun, pemandu dan penumpang menaiki Perodua Rusa, pemandu dan kelindan lori treler, serta pemandu dan kelindan lori simen terselamat, katanya.

Beliau berkata kenderaan lain terlibat dipercayai cuba mengelak dari melanggar kontena yang jatuh.

Menurut Mohd Faizal, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit manakala mangsa-mangsa lain telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Bomba kemudiannya menyerahkan mangsa yang cedera kepada pihak ambulans dari Jabatan Pertahanan Awam dan hospital untuk menerima rawatan.

“Tiada kebocoran berlaku dari lori yang membawa muatan bahan kimia,” tambah beliau.

Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Herman Amat dengan kekuatan enam anggota.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah hari.