MIRI: Sebuah kereta jenis Perodua Kancil hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam parit selepas pemandunya terkena serangan jantung di Jalan Miri By-Pass, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Azami Japar, 27, dikatakan sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Miri menuju ke Hospital Miri sebelum tiba-tiba terkena serangan jantung.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata keadaan itu menyebabkan kereta berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan terjunam ke dalam parit berhampiran.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, mangsa dikejarkan ke Hospital Miri sejurus kejadian menggunakan ambulans, namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba akibat serangan jantung dialaminya.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa mempunyai rekod penyakit jantung berlubang dan mengalami serangan jantung ketika memandu hingga menyebabkan berlakunya kemalangan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 – berita harian