RAWANG : Sebuah kereta musnah sepenuhnya dalam kebakaran akibat kemalangan membabitkan sembilan kenderaan di Kilometer 447.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.29 pagi.

“Seramai lapan pegawai dan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api sedang marak sebelum berjaya dikawal sepenuhnya beberapa minit kemudian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Rizal berkata, kebakaran kereta Proton Saga itu menyebabkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza turut terbakar.

“Kereta Proton Saga itu yang terbabit dalam kemalangan dengan sembilan kenderaan lain melanggar bahagian belakang MPV Perodua Alza berkenaan.

“Kebakaran yang berlaku mengakibatkan Perodua Alza terbabit turut terbakar, namun hanya membabitkan bahagian belakang kenderaan itu selepas api berjaya dikawal sepenuhnya oleh anggota bomba.

“Pemandu kereta Proton Saga itu berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan itu dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, antara kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu adalah Perodua Axia, Proton Preve, Mercedes, Perodua Myvi, Honda HRV, BMW X1, Toyota Vios, Honda City dan Proton Saga FL.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas kira-kira dua kilometer berikutan penutupan lorong di lokasi kejadian – berita harian