GOPENG: Seorang lelaki sesak nafas selepas kereta dipandunya terbakar di Kilometer 297, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, malam ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, Shahpri Sharuddin, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 8.01 malam dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, berlaku kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang musnah terbakar 80 peratus selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama sebuah kereta jenis BMW dan sebuah lori satu tan.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati api sedang marak membakar hampir keseluruhan kereta Proton Saga.

“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 50an yang dikeluarkan orang ramai mengalami sesak nafas,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Shahpri berkata, anggota bertindak membuat pemadaman menggunakan dua aliran hos bersumberkan air dari tangki jentera sehingga api dipadamkan sepenuhnya.

Katanya, hasil siasatan melalui saksi kejadian, Proton saga terbabit melanggar kereta BMW sebelum merempuh bahagian belakang lori lalu terbakar.

“Difahamkan lori sebelum itu sudah terbabas di pembahagi jalan dan berhenti di lorong kanan manakala kereta BMW pula berhenti di lorong perlahan.

“Pemandu Proton Saga yang berada dari arah sama hilang kawalan lalu melanggar kedua kenderaan berkenaan yang berada dalam keadaan berhenti,” katanya.

Katanya, mangsa yang mengalami sesak nafas diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dan kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

“Operasi tamat pada jam 8.30 malam,” katanya