LELAKI, 24, cedera pada tangan dan lebam di bawah mata apabila kereta dipandunya terjunam dari tingkat satu ke tingkat bawah sebuah pusat beli-belah di Seremban, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, sebelum itu lelaki berkenaan datang ke premis terbabit pada 4.30 petang atas urusan peribadi.

Katanya, dia meletakkan Proton Persona di tingkat satu parkir kenderaan lalu memasuki premis terbabit.

“Mangsa kembali ke kenderaannya pada 5.30 petang (semalam), dan dia terlanggar sebuah kereta Nissan Almera di belakangnya ketika mengundurkan kenderaannya.

“Dia memandu semula ke depan dan tidak menyedari terdapat ruang kosong yang menyebabkan keretanya terjunam ke tingkat bawah parkir,” katanya.

Menurutnya, kejadian turut menyebabkan kerosakan pada sebuah kereta lain di tingkat bawah kerana terkena serpihan batu.

Katanya, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Jalan Raya 166/59 – hmetro