IPOH: Kerja mengorek dan mendalamkan sebuah parit di Kampung Padang Serai dekat Manjung, bagi mengalirkan air yang bertakung akibat banjir ke Sungai Beruas dijangka siap sepenuhnya Jumaat ini.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Manjung, M.Sasitharan berkata parit yang dikorek sedalam satu hingga tiga meter itu kini telah siap 60 peratus.

“Kami sedaya upaya untuk menyiapkan segera parit bagi memastikan air yang bertakung surut sepenuhnya. Kita mahu semua mangsa yang berada di pusat pemindahan hampir sebulan pulang ke rumah dengan segera,” katanya kepada Bernama.

Menurut Sasitharan, banjir di kawasan itu surut sebanyak lima meter setelah kerja mendalamkan parit dan mengepam air yang bertakung dijalankan.

Katanya pihaknya turut melakukan kerja pembersihan di Sungai Beruas dengan menggunakan jengkaut untuk membuang tumbuh-tumbuhan di dalam sungai bagi memudahkan pengaliran air.

Sementara itu, menurut Portal Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa banjir di Perak berkurangan kepada 196 mangsa setakat 12 tengah hari berbanding 200 orang pagi tadi.

Sebanyak 183 orang daripada 51 keluarga masih ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Manjung manakala 13 mangsa banjir daripada empat keluarga ditempatkan di Surau Padang Serai di daerah Larut Matang dan Selama.