IPOH: Kerja-kerja penaiktarafan berterusan diambil bagi mencegah kejadian banjir yang berlaku di semua kawasan berisiko tinggi di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak telah dan akan menjalankan kerja-kerja menaik taraf di lokasi berisiko banjir.

“Kawasan Kuala Kurau misalnya, yang berhadapan banjir kilat selama 10 tahun dan JPS telah membina kolam takungan kering di tempat tersebut. Bagaimanapun kapasitinya tidak mencukupi disebabkan kekangan ruang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Sementara itu, kata Zainol, di Pekan Chemor pula JPS sentiasa melaksanakan kerja-kerja jangka pendek berkala pada setiap tahun seperti mengorek dan mendalamkan Sungai Chemor.

“Pembaikan dan penstabilan tebing Sungai Chemor yang kerap runtuh dan terhakis, dilaksanakan dengan menggunakan kaedah gabion dan riprap serta pembinaan struktur pintu air di parit atau alur yang berisiko semasa paras air sungai itu tinggi,” katanya.

Zainol berkata, perancangan kerja jangka panjang pula meliputi menaiktaraf dan pengaluran semula Sungai Chemor dengan mengorek serta mendalamkan sungai bagi melancarkan aliran air.

Dalam pada itu, kerja-kerja pengambilan pasir sungai di bawah program MB Inc. khususnya di Sungai Chemor perlu dipertingkatkan untuk mengatasi masalah sungai yang semakin cetek akibat pembukaan kawasan pertanian.

“Pembinaan ban di kawasan rendah juga akan dilaksanakan di samping menaik taraf lombong kepada kolam takungan,” katanya.