IPOH: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) telah memulakan kerja-kerja pemulihan tanah berhampiran Bukit Kledang yang terjejas akibat aktiviti penerokaan haram yang dikesan awal Febuari lalu.

Menurut kenyataan Unit Korporat MB Inc, mereka telah mendapat kebenaran daripada pihak Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak untuk menjalankan kerja-kerja berkenaan.

Menurut kenyataan itu, ia bertujuan menstabilkan struktur cerun dan membina perparitan bagi mengelakkan berlakunya hakisan dan tanah runtuh.

“Kawasan tersebut telah ditutup kepada awam sebagai langkah keselamatan dan berada di bawah pemantauan pihak berkuasa untuk mengelak kejadian pencerobohan tanah daripada berulang,” kata kenyataan itu.

Penjelasan itu dibuat ekoran keresahan orang ramai berhubung kehadiran jentera-jentera berat di kawasan tersebut.

Pihak MB Inc. menghargai keprihatinan masyarakat mengenai kepentingan melindungi Bukit Kledang daripada sebarang ancaman penerokaan haram.

“Ini adalah selari dengan iltizam kerajaan negeri untuk menangani isu penerokaan haram di tanah-tanah milik kerajaan negeri dan syarikat berkanun kerajaan negeri,” kata kenyataan itu lagi.