IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mahu kerjasama yang baik dijalin antara sektor awam dan swasta untuk bersama-sama membangunkan negeri ini.

Menurut beliau, sektor swasta boleh memanfaatkan sepenuhnya kewujudan pelbagai agensi kerajaan seperti MIDA, MITI dan Invest Perak untuk meningkatkan kegiatan ekonomi mereka.

Dr Zambry berkata, kerajaan sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang ingin melabur atau meningkatkan pelaburan mereka di negeri ini.

“Kerajaan tidak pernah menutup pintu perbincangan kepada mana-mana pihak kerana kita sentiasa mesra perniagaan,” katanya ketika berucap pada majlis makan tengahari sempena sambutan 105 tahun Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) Cawangan Perak di sini, pada Selasa.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan Pengerusi MICCI Cawangan Perak, Datuk Lim Si Boon.

Lim di dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa mendengar rintihan, cadangan dan aduan pihaknya untuk meningkatkan sektor industri di negeri ini.

Beliau memberi contoh, antara isu yang mendapat perhatian kerajaan negeri ini ialah saluran paip gas asli dari Ayer Tawar ke Lembah Kinta, royalti hasil bumi dan pembelian tanah.