KAMPUNG GAJAH: Kerajaan negeri Perak akan bekerjasama dengan pihak swasta untuk melatih generasi muda di dalam sektor pertanian, perikanan dan industri asas tani.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, YB Abdul Yunus Jamhari berkata, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melihat lebih ramai anak muda menceburi sektor tersebut.

Menurut beliau, sektor itu bukan sekadar mampu mencipta peluang pekerjaan dan menghasilkan pendapatan yang tinggi tetapi juga dapat membantu kerajaan menyediakan sumber bekalan makanan untuk rakyat.

“Kita hendakkan pertanian hari ini menggunakan kaeadah moden dan teknologi terkini, oleh itu kita bersedia untuk bekerjasama dengan pihak swasta,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Institut Agro Usahawan (IGROW), Komuniti Ekonomi Pasir Salak (KEPS) dan Perak Agrotourism Resort (PATRO) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malik dan para pegawai jabatan serta agensi yang terlibat.

YB Abdul Yunus berkata, kerajaan tidak mahu melihat lebih ramai anak muda berhijrah ke bandar-bandar untuk mencari peluang pekerjaaan

“Sekiranya mereka berminat dalam sektor pertanian, perikanan dan sebagainya, insya Allah kerajaan akan bantu,” tambahnya.

Dalam pada itu, katanya, beliau akan berjumpa dengan lebih banyak agensi terbabit untuk berbincang bagaimana kaedah membantu mereka yang terlibat di dalam sektor pertanian dan perikanan.

Tambahan pula, kata beliau, Perak masih mempunyai banyak kawasan lapang dan sumber yang belum diteroka.

YB Abdul Yunus berkata, kerajaan negeri akan berusaha lebih keras membantu meningkatkan taraf hidup usahawan kecil, khususnya di kampung-kampung, seperti menyediakan pusat pengumpulan dan pemasaran.

“Semasa lawatan tadi, saya lihat FELCRA mengadakan pusat pengumpulan dan pemasaran, ia suatu idea yang baik dan lebih banyak agensi yang bantu usahawan kecil,” tambahnya.