IPOH: Selaras dengan aspek pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19, kerajaan negeri Perak akan mengajurkan bazar Ramadan secara konsep atas talian yang dinamakan S.M.A.R.T Iftar@Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, bagi tujuan itu, Digital Perak Corporation Holding ( DigitalPerak ) sedang membangunkan platform digital tersebut di https://digital.perak.my

Menurutnya, laman web itu memulakan operasi hari ini untuk pendaftaran peniaga dan untuk tatapan pembeli pula adalah pada 1 Ramadan nanti.

“Laman web tersebut akan memaparkan direktori maklumat perniaga yang berdaftar dan disahkan oleh pihak pihak berkuasa tempatan (PBT), menu Ramadan dan harga makanan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Nolee berkata, bagi menjayakan lagi program itu, kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda Malaysia Sdn Bhd (Foodpanda) dan Grab Malaysia (Grab) melalui GrabFood serta Yezza.

Menurutnya, di bawah program S.M.A.R.T Iftar@Perak, Foodpanda dan Grabfood telah bersedia untuk memberikan diskaun sebanyak 5% daripada di atas pihak syarikat untuk komisyen makanan yang dikenakan ke atas pihak vendor (25% daripada 30% caj biasa).
Di samping itu, katanya, kerajaan negeri juga menggalakan usaha komuniti untuk menjalankan jualan secara atas talian dan perkhidmatan penghataran di kawasan masing-masing.

“Kita juga menggalakkan restoran-restoran yang dibenarkan untuk beroperasi menjalankan kerjasama dengan peniaga-peniaga lain untuk servis pick-up di permis yang dibenarkan,” ujarnya.
Beliau yang memangku Porfolio Komunikasi dan Multimedia Negeri memberitahu, majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara kerajaan negeri dengan rakan strategik progran itu dijangka akan diadakan minggu hadapan.