Oleh: Shafiq Noordin

IPOH: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak akan bekerjasama dengan Yayasan Bina Upaya (YBU) bagi mempromosi produk hasil laut Q’Fish melalui Kedai Bergerak Aman Jaya (KB1AJ) di kawasan pedalaman di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerjasama itu akan dapat membantu mengurangkan beban rakyat dalam mendapatkan bekalan makanan khususnya ikan segar, lebih murah daripada harga pasaran.

“Melalui promosi ini, masyarakat di luar bandar khususnya akan didedahkan tentang harga ikan yang lebih ekonomi berbanding harga di pasar runcit dan borong melibatkan Ikan Kembung, Ikan Selar, Ikan Pelaling, Ikan Selayang, Ikan Cencaru, Ikan Aya, Ikan Tilapia dan Ikan Keli.

“Program ini akan dibuat di beberapa kawasan terutama yang sukar mendapatkan sumber ikan seperti Kuala Kangsar, Lenggong, Gerik dan Kg Gajah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Ahmad Hasbullah Alias (BN-Kubu Gajah) mengenai langkah-langkah yang diambil LKIM dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri bagi mempromosi produk Q’Fish.

Tambah Saarani, LKIM juga telah membuat satu perancangan yang lebih teratur bagi memperkenalkan produk-produk Q’Fish di Agrobazar-Agrobazar yang terdapat di seluruh Perak.

“Ini sekaligus memberi peluang untuk meningkatkan bilangan usahawan dalam pemasaran ikan dalam usaha kita mewujudkan peluang-peluang pasaran hasil tangkapan,” ujarnya.

Q’Fish ialah ikan segar sejuk beku yang merupakan penjenamaan semula Program Ikan Rakyat LKIM yang telah diperkenalkan pada tahun 2014.