IPOH: Kerjasama dua parti komponen teras Barisan Nasional (BN), MCA dan Gerakan dalam satu langkah bijak bagi menghadapi suasana politik hari ini.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini kerana kedua-dua parti mempunyai banyak persefahaman yang boleh memantapkan lagi BN menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menurut beliau, walaupun MCA parti berteraskan kaum Cina dan Gerakan parti berbilang kaum, tetapi majoriti ahli Gerakan adalah dari kaum Cina.

“Dengan adanya kerjasama begini, ia tentunya membantu memantapkan jentera dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang. Apabila berlakunya kerjasama yang sebegini di peringkat kepimpinan, termasuk akar umbi, maka pergerakan jentera sewaktu musim pilihan raya akan lebih mudah dan tidak berlaku salah faham,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini, hari ini.

Baru-baru ini pemimpin MCA dan Gerakan bersama-sama menghadiri Perhimpunan Teguh Bersama MCA-Gerakan yang diadakan di Ibu Pejabat MCA di Kuala Lumpur.

Dalam sejarah politik Malaysia, ini merupakan kali pertama MCA dan Gerakan mengadakan perhimpunan secara bersama sejak BN ditubuhkan pada 1974.

Dr Zambry yakin dengan persefahaman kedua-dua parti itu, ia akan memberi hasil yang positif kepada BN.

Mengenai MIC dan My PPP yang dikatakan tidak bersefahaman di Buntong, beliau menjelaskan bahawa apa yang paling penting, kedua-dua belah pihak bekerja untuk BN.

Menurutnya, sesiapa sahaja boleh mendakwa mereka dapat kepercayaan dari pimpinan tertentu tetapi apabila keputusan telah dibuat mengenai calon, semua pihak harus akur menerimanya.