Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Media merupakan medium terbaik untuk keberkesanan penyampaian mesej daripada mana-mana majlis perbandaran bagi rakyat setempat.

Itu merupakan komen Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man ketika mengingatkan akan peranan kakitangan media yang tidak pernah lekang membantu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyampaikan mesej dan permasalahan rakyat secara efektif.

Katanya, petugas media baik wartawan, jurugambar malah juruvideo di sekitar Ipoh sentiasa memberikan kerjasama terbaik dalam membantu MBI melaksanakan sebarang pemberitahuan acara dan informasi daripada pihaknya.

“Saya dah lama kenal media sejak 2005 lagi tetapi uniknya di Ipoh, setiap media dari pelbagai syarikat memberikan komitmen penuh dari segi benda yang baik atau tidak baik jadi inilah keseimbangan dan kerjasama yang kita mahukan.

“Sebolehnya saya ingin benda ini kekal dan kalau ada cadangan daripada kaunselor atau ahli majlis di setiap zon dan kawasan MBI jangan malu untuk kemukakan, ini harapan kita untuk merealisasikan impian menjadikan Ipoh “Bandar Dalam Taman”, kelak,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Datuk Bandar Ipoh bersama lebih daripada 30 Ketua Biro dan Wartawan dari seluruh kawasan Ipoh di Hotel Casuarina, di sini ‪pada petang Selasa‬.

Tambah Zamri, media juga harus sentiasa mengingatkan penduduk Ipoh untuk mengambil inisiatif membersikan rumah masing-masing dan bukan hanya berharap serta menuding jari kepada MBI semata-mata.

“Saya harap kita sama-sama menjadikan Ipoh ini taman, bandar, kampung dan perumahan yang boleh diduduki, selesa dan cantik untuk jangka masa panjang,”ujarnya lagi.