Oleh: Aida Aziz

IPOH: Gabungan usaha antara kerajaan negeri, Pusat dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) merupakan usaha sama terbaik dalam penganjuran Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (Pangkor Dialogue) pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Kadir berkata, lebih memberangsangkan, persidangan kali ini membincangkan aspek pembangunan secara lebih inklusif dan tidak terarah kepada aspek material semata-mata.

“Kita perlu mendapatkan kepelbagaian perspektif di dalam setiap pembentangan yang dibuat oleh delegasi dari dalam dan luar negara. Ia termasuk aspek emosi, psikologi, sosial dan pendidikan.

“UNDP telah bersama kita sejak beberapa tahun lalu dan kerjasama dengan NCIA (Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara) dimanfaatkan bukan sahaja di Perak tetapi negara dan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Pangkor Dialogue 2017 di Pusat Konvensyen Amanjaya di Casuarina@Meru di sini, hari ini.

Majlis perasmian Pangkor Dialogue 2017 disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Hadir menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian itu ialah bekas angkasawan NASA, Dr Catherine Cady Coleman dan bekas Presiden Ecuador, Jorje Jamil Mahuad Witt.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, elemen keterangkuman merupakan komponen penting yang amat dititikberatkan dalam melaksanakan agenda-agenda sepanjang program itu.

“Sebagai contoh, sekiranya sesebuah syarikat masuk ke dalam kawasan kampung, mereka perlu diberi peluang untuk turut serta dalam agenda ekonomi, supaya habuan itu dapat diraih oleh mereka yang mengambil bahagian,” katanya.