PETALING JAYA: Kerjasama Umno-PAS, yang membawa kepada Himpunan Penyatuan Ummah di ibu negara Sabtu ini, adalah “nyata” dan tidak lahir dari fantasi, kata bekas menteri besar Perak Zambry Abd Kadir.

Beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, semangat taawun kedua-dua parti tumbuh secara organik dan subur dari baja kesedaran yang tidak dibuat-buat atas nama persefahaman politik semata-mata.

“Serangan terhadap taawun juga menggambarkan proses demokrasi hanya berlaku sekiranya Umno dan PAS tidak berkerjasama dan terus berpecah.

“Manakala kalau Umno dan PAS bekerjasama maka akan wujudlah sebuah kerajaan ‘klepto-theocracy’ yang sama keadaannya seperti Iraq, Syria, Afghanistan dan lain-lain.

“Namun apa yang dapat kita saksikan hari ini ialah bangkitnya suatu semangat keinsafan di pelbagai peringkat untuk mencari dan membina politik nasional yang lebih mantap sesuai dengan negara Malaysia dan penduduknya. Ini dapat dilihat dalam beberapa perkara taawun Umno-PAS,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

PAS dan Umno, masing-masing parti Islam dan Melayu terbesar, merancang untuk mengadakan Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 13 dan 14 Sept ini, bagi menggembleng kekuatan Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional menuju pilihan raya umum ke-15. Sempena perhimpunan itu kedua-dua parti itu dijangka akan memeterai piagam muafakat kerjasama.

Zambry yang merupakan menteri besar yang mendapat perhatian luas selepas kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat (PR) ketika itu tumbang pada 2009 berkata, Umno dan Pas bukan parti yang baru berada dalam pentas politik nasional.

Umno ditubuhkan pada 1946 dan menjadi pemerintah selama 61 tahun manakala PAS, ditubuhkan pada 1951, memerintah Kelantan lebih 30 tahun, selain pernah memerintah Kedah dan kini kali ke-2 Terengganu.

“Dengan segala asam garam, jatuh bangun, Umno dan PAS membuktikan sekian lama amalan dan budaya politik demokrasi dalam negara ini. Ia mempunyai sejarah, konteks, perspektif, relevansi, dan arah tuju yang terbina sepanjang perjalanan kewujudan mereka dalam politik tanah air.

“Ini bertentangan sama sekali dengan pandangan ekstrim pihak Pakatan Harapan (PH) yang menganggapnya sebagai cubaan mewujudkan negara Taliban, perang terhadap bukan-Islam, dan akan wujud jerangkap samar politik yang cuba menyamakan Malaysia akan menjadi seperti Iraq, Syria, Yaman dan Bahrain,” kata beliau.

Seterusnya menurut beliau, Umno dan PAS akan mengemukakan naratif politik nasional yang relevan dengan sejarah, konteks, demografi dan landskap politik.

Beliau berharap kedua-dua parti itu tidak akan terjerumus ke dalam kejumudan dan beretorik dengan slogan dan simbol kosong sekiranya mereka mahu menjadi alternatif yang lebih baik daripada kerajaan PH yang ada hari ini.

“Hala politik mereka perlu terus mengukuhkan landasan politik demokrasi dan menerima realiti kepelbagaian agama dan kaum,” jelas beliau.

Selain itu, katanya, Umno dan PAS tentunya akan menyediakan tawarannya kepada rakyat melalui pengalaman dan pengamatan serta penglibatan mereka kepada rakyat selama ini.

“Ia pasti tidak akan membuat tawaran-tawaran palsu, janji-janji yang tidak tertunai seperti kegagalan yang dilakukan oleh kerajaan sekarang.

“Tawaran-tawaran untuk membina sebuah negara yang demokratik, dengan nilai-nilai keadilan, kesederhanaan, belas ihsan, memelihara maruah setiap warga, pembasmian kemiskinan, mengurangkan jurang ketaksamaan, dan menolak faham kebebalan sejarah yang mendorong chauvinisme kaum,” kata Zambry lagi.

Pada masa yang sama, menurut Zambry, Umno dan PAS harus lebih fokus kepada gerak kerja dan tidak terikut dengan gendang serangan PH.

“Serangan berterusan PH pula akan membawa kehilangan dimensi politik yang lebih komprehensif di kalangan mereka,” katanya.

Tambah beliau, keadaan politik sosial demokratik dan pluralisme yang menentang politik Melayu-Islam dan mengasaknya sehingga menimbulkan keresahan adalah suatu keadaan yang sebenarnya berbahaya.

“Akibat serangan terhadap Umno dan PAS, ia semakin membuka tingkap keresahan. Dalam waktu yang sama pintu penyatuan dua parti yang diserang ini semakin terbuka.

“Sepatutnya dalam impian baru PH untuk melihat ruang demokrasi yang lebih luas, kewujudan persefahaman dan kerjasama politik seperti Umno-PAS ini dialu-alukan. Apabila DAP sanggup menerima PAS dalam PR suatu ketika dulu, apakah yang mengejutkan pula bila Umno dan PAS boleh bekerjasama,” tulis beliau.

Ketujuh, apabila kekhuatiran terhadap hubungan Umno-PAS menjadi suatu konstruk politik ketakutan (politics of fear) yang dicanang oleh PH, maka ia membawa kepada suasana yang tidak baik kepada pihak PH sendiri, seolah-olah mahu menjuarai dan memonopoli kebenaran (monopoly of truth).

Katanya, Umno dan PAS perlu membuktikan kerjasama yang dibina mereka merangkumi sekalian rakyat, merentasi etnik dan agama.

“Dan ia perlu membuktikan politik mereka adalah politik kesederhanaan, berimbang di tengah titik timbang, berkebajikan, wasatiyyah, hadari, dan demokratik,” katanya.