KUALA LUMPUR: Laporan interim Kertas Putih berhubung isu FELDA mendedahkan kecurangan serius membabitkan masalah kewangan agensi itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kecurangan itu terdedah selepas beliau meneliti deraf pertama laporan terbabit.

“Ya , saya sudah melihat deraf pertama laporan interim dan ia amat serius. Kementerian perlu mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung perkara itu.

“Beberapa perkara sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kami tidak boleh masuk campur dalam hal itu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Mohamed Azmin baru-baru ini berkata, kerajaan akan membentangkan Kertas Putih berkaitan pengurusan FELDA yang ‘curang’ dan tidak bertanggungjawab, Disember ini.

Beliau berkata, kertas itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya dalam peringkat akhir menyiapkan Kertas Putih FELDA yang akan dibentangkan di Parlimen dalam tempoh terdekat ini.

“Kerja pengauditan oleh syarikat luar sedang disiapkan supaya kita dapat melihat gambaran sebenar berhubung masalah kewangan FELDA dan salah tadbir urus yang berlaku.

“Perkara ini penting supaya golongan peneroka dapat memahami situasi sebenar yang menimpa FELDA,” katanya.

Mengulas mengenai aset FELDA yang akan dijual, Mohamed Azmin berkata, hartanah terbabit dibeli pada harga premium yang tinggi dan bukan pada harga pasaran.

“Kita mungkin tidak akan dapat pulangan yang sewajarnya jika aset terbabit dijual. Bagaimanapun, biar kami bentangkan dulu Kerta Putih, dan kita membuat cadangan yang diperlukan,” katanya – berita harian