TANAH RATA: MIC yakin calon parti itu akan kekal untuk diletakkan bertanding bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Menurutnya, ianya adalah berikutan kawasan Parlimen Cameron Highlands merupakan kerusi tradisi MIC dan perkara tersebut telah diambil kira pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) .

Katanya, perkara itu telah diketahui oleh pimpinan BN sejak dahulu meskipun terdapat parti komponen BN yang lain berminat untuk bertanding di kerusi itu.

“Jentera parti MIC sudah melakukan gerak kerja (dalam mendekati pengundi) sejak dahulu. Bagaimanapun, tiada masalah jika (parti komponen) mahu bekerja di sini bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN. Tiada isu dalam perkara itu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian cek berjumlah RM800,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Terla dan Persatuan Penganut Dewa Sri Maha Mariamman di sini, hari ini.

Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan itu turut menegaskan bahawa MIC juga telah menyerahkan nama calon yang dicadangkan bertanding di kerusi itu kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini, Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas mendakwa kerusi Parlimen Cameron Highlands akan dikembalikan kepada parti itu berdasarkan janji bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2000.

Sejak PRU 2004, kerusi itu dimiliki MIC dan kini disandang bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang ketika ini merupakan anggota Parlimen Bebas selepas hilang keanggotaan MIC pada 2015 semasa krisis dalaman parti itu.

Dr Subramaniam berkata MIC menyokong penuh calon parti komponen BN yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan DUN Jelai yang berada di bawah Parlimen Cameron Highlands, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat BN Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata di sini,hari ini.

“Masyarakat India di sini akan menyokong penuh calon yang akan bertanding di kedua-dua kerusi tersebut bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN. Itu (sokongan) merupakan prinsip BN,” ujarnya lagi.