CAMERON HIGHLANDS – Parti Barisan Jemaah Islamiah Se Malaysia (Berjasa) meletakkan calon tunggalnya Mohd Tahir Kassim bertanding bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Pertandingan lima penjuru itu menyaksikan Berjasa bertemu calon parti ‘kawan’ iaitu PAS yang diwakili Wan Mahadir Wan Mahmud.

Di kerusi itu, Berjasa menggunakan bendera dan lambang Bintang.

Pada 2016, Berjasa mengumumkan menyertai Gagasan Sejahtera, satu gabungan kerjasama bersama PAS, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan 200 NGO lain bagi membentuk ikatan kerjasama pembangkang bagi menghadapi PRU-14.

Naib Presiden Berjasa, Mohd Shokri Mahmood berkata Berjasa dan PAS akan bertanding secara baik.

“Berjasa sudah bertanding di sini pada 2013 sebelum kerjasama dibentuk dimana saya sebagai calon pada tahun itu.

“Memandangkan kami sudah berkhidmat dan bekerja di sini, kami berhasrat untuk meneruskan khidmat di sini dan kami mahu rakyat tahu yang kami bukan calon bermusim,” ujar beliau ketika ditemui selepas tamat proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands, di sini hari ini.

Beliau menegaskan Berjasa dan PAS masih dalam gagasan yang sama dan membawa manifesto yang sama.

“Apa yang terjadi ialah Berjasa dan PAS sama-sama meletakkan calon masing-masing di sini,” katanya.

Tiga calon lain bagi kerusi Cameron Highland adalah Datuk C.Sivarraajh yang merupakan muka baru bagi Barisan Nasional, manakala dari PKR diwakili M. Manogran dan Suresh Kumar Balasubramaniam dari PSM.