IPOH: “Pagi tadi dia beritahu nak ke sekolah kerana ada latihan sukan dan akan terus sambung sekolah sesi petang. Saya memang tidak tahu dia pergi mandi sungai dengan kawan-kawannya,” kata Abd Khader Hat, 50.

Bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambun, Mohamad Farid Nazmi,13, itu berkata, anak bongsunya yang ditemui lemas di Sungai Pinji berdekatan Kampung Tersusun Batu 4, Tambun di sini pagi tadi, juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum tragedi itu.

“Selepas pulang dari sekolah jam 7 petang semalam, dia pergi mengaji seperti biasa, balik mengaji, dia tidur dengan saya dan pagi ini saya tidak gerakkan dia bangun kerana dia sekolah petang.

“Dia bangun sendiri dan memberitahu perlu ke sekolah kerana ada latihan sukan. Saya cuma pesan supaya bawa basikal elok-elok sebelum rakannya datang ke rumah pada jam 9.15 pagi memberitahu anak saya lemas.

“Saya terkejut dan tanya lemas di mana kerana setahu saya anak saya ke sekolah. Saya kemudian terus ke lokasi kejadian dan nampak jenazah anak memakai baju berwarna hijau sudah dibawa naik,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Mohamad Farid Nazmi lemas bersama rakan sekelasnya, Alif Azam Azmin Azam,13, ketika mandi bersama tiga rakan lain di sungai berkenaan. Mayat pelajar itu ditemui jam 10.28 pagi, manakala mayat Alif Azam ditemui 16 minit lebih awal oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Sementara itu, ibu Alif Azam, Norfarizah Masran,41, pula berkata, arwah anaknya keluar rumah jam 6.45 pagi untuk menghantar adiknya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pakatan Jaya kerana dia bersekolah sesi petang.

“Semalam, dia keluar pagi juga, kata ada aktiviti di sekolah. Malam tadi, saya ada tanya dia sama ada esok (hari ini) ada lagi aktiviti di sekolah, dia kata ada. Memang saya tidak tahu dia pergi ke sungai bersama kawan-kawannya.

“Saya sempat pesan padanya beli mihun jika lapar, namun arwah kata tidak mahu makan. Saya mintanya belikan untuk saya serta tinggalkan di rumah nanti. Ketika saya sedang kerja, kawan dia datang kedai dan memberitahu Alif Azam lemas tapi saya tak tahu lokasi itu,” katanya.

Jenazah kedua-dua remaja itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun selepas solat Asar petang ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.57 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, mayat kedua-dua remaja itu ditemui di dasar sungai sebelum jenazah diserahkan kepada polis sebelum operasi ditamatkan jam 11.15 pagi – berita harian