KUALA LUMPUR: Bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang dihukum mati selepas didapati bersalah membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu tetap mnelarikan diri ke Australia perlu menjalani hukuman di negara ini.

Peguam Ramkarpal Singh berkata Sirul Azhar boleh diusir keluar dari Australia jika hukuman gantung sampai mati ke atasnya diringkankan kepada penjara seumur hidup.

Beliau berkata kerajaan Australia seharusnya memainkan peranan dalam usaha menegakkan keadilan dengan mengusir Sirul Azhar pulang apabila hukuman mati diringankan atau dimansuhkan.

“Saya yakin salah satu perkara di atas (mansuh atau diringankan hukuman) akan berlaku dalam masa terdekat dan menggesa pihak berkuasa Australia untuk mengusirnya selepas itu untuk menjalani hukuman di Malaysia.

“Seterusnya membolehkan dia bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dalam siasatan untuk mengenal pasti siapa yang mengarahkan Altantuya dibunuh,” katanya.

Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, Sirul Azhar mesti faham bahawa dia tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk tawar-menawar dalam sebarang kesulitan atau masalah yang dipilihnya sendiri.

Beliau berkata, tidak ada sebarang alasan bagi pihak berkuasa Australia untuk terus menahannya kerana dia harus diusir pulang untuk menjalani hukuman jika hukuman mati itu diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup.

Ramkarpal berkata demikian bagi mengulas kenyataan Sirul Azhar seperti dilaporkan Malaysian Insight bertajuk ‘No deal, I’ll be killed in jail, Sirul says to life imprisonment possibility’ hari ini.

“Sirul Azhar adalah pembunuh yang disabitkan dan dia mesti menjalani hukuman dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai persoalan siapa yang mengarahkannya untuk membunuh Altantuya.

“Tidak masuk akal untuk menyatakan dia dibenarkan tinggal di Australia dalam keadaan sedemikian… Kenapa dia dibenarkan akses kepada pihak media oleh pihak berkuasa Australia dengan mudah sehingga dapat mengadakan sidang akhbar?

“Adakah ini bagaimana tahanan dilayan di Australia?”, katanya – berita harian